NIEI berada di Penanti untuk memantau perjalanan pilihanraya kecil (PRK) di DUN tersebut bermula 22 Mei 2009.
Kami telah mengeluarkan kenyataan mengenai Hari Penamaan calon disini.
Sehingga hari ini, kempen pilihanraya berjalan lancar. Poster calon-calon yang bertanding kelihatan di sepanjang kawasan Penanti dimana poster dan bendera dari calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendominasi sepanjang kawasan DUN Penanti berbanding dengan calon-calon bebas yang bertanding.
Anggota keselamatan yang ditempatkan di Penanti tidak begitu ramai berbanding dengan PRK yang kami pantau sebelum ini seperti Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang.
Jelaslah tanpa kehadiran anggota keselamatan yang ramai sekalipun pilihanraya kecil masih boleh berjalan dengan aman dan tenteram.
Walaubagaimanapun, kehadiran polis trafik untuk membantu para pejalan kaki melintas jalan bagi menghadiri ceramah-ceramah kempen pilihanraya amat dialu-alukan.
Akan tetapi tidak perlulah anggota-anggota keselamatan mengadakan sekatan jalanraya berhampiran dengan tempat ceramah kerana ini akan menakutkan pengundi-pengundi untuk menghadiri ceramah sekaligus bertentangan dengan semangat demokrasi dan kebebasan untuk mendapatkan maklumat.
Contohnya seperti apa yang berlaku apabila ceramah diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Penanti di Kampung Semambu, Penanti pada 25 Mei 2009 dimana pihak polis telah mengadakan sekatan jalanraya berhampiran dengan tempat ceramah tersebut.
Kehadiran anggota polis yang begitu ramai pada PRK sebelum ini dengan alasan melindungi ketenteraman awam diragui asas tujuannya.
Apakah polis sebenarnya bertindak sebagai pelindung Barisan Nasional (BN) atau dengan tujuan menunjukkan kekuatan politik BN?
Di harapkan dalam PRK akan datang, tidak perlulah lagi kerajaan membazirkan wang untuk menempatkan anggota keselamatan yang ramai kerana ini hanyalah satu pembaziran tambahan lagi kadar jenayah dinegara ini semakin meningkat.
Oleh itu biarkanlah anggota keselamatan seperti Polis menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjaga keselamatan rakyat dan bukannya dilibatkan dalam politik.
Amin Iskandar,
Pengarah Eksekutif NIEI

[...] | No Comments Untuk membaca update mengenai pemantauan NIEI bagi PRK DUN Penanti, klik disini. [...]
aman di penanti ada sebeb nye,sbb utama BN tidak bertanding,kalau BN bertanding tentu lain cerita nye,sbb utama PKR guna kan kekerasan utk mendapat undi.sudah menjadi lumrah PKR menguna kan kekerasan utk mencapai metelamat perjuangan mereka,boleh la dikata kan ala komunis.